Anwar presiden baru PKR, Azmin dicabar Rafizi

Datuk Seri Azmin Ali hari ini secara rasmi bakal berdepan cabaran Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden PKR selepas tempoh pencalonan ditutup sebentar tadi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula secara tidak rasmi menjadi presiden PKR apabila tiada sesiapa mencalonkan diri bagi jawatan tertinggi tersebut. Jawatan itu sebelum ini diisi isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Borang pencalonan Azmin untuk mempertahankan jawatannya itu diserahkan anggota Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham. Pencalonan Azmin disokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Untuk rekod Muhammad Hilman ialah calon timbalan ketua Pemuda PKR.

“Kira-kira jam 4.45 petang ini saya menyerahkan borang pencalonan bagi pihak Datuk Seri Azmin untuk beliau mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti kali ini,” kata Amirudin kepada media.

Sementara itu bagi persaingan jawatan naib presiden, pemilihan kali ini mencatatkan jumlah melebihi 10 orang dicalonkan bagi mengisi empat tempat yang dipilih melalui undian.

Mereka ialah:

  1. William Leong (MP Selayang)
  2. Datuk Johari Abdul (MP Sungai Petani),
  3. S Kesavan (MP Sungai Siput)
  4. Nurul Izzah Anwar (MP Permatang Pauh)
  5. Dr Xavier Jeyakumar (MP Kuala Langat)
  6. Zuraida Kamaruddin (MP Ampang)
  7. Shamsul Iskandar Mohd Akin (MP Hang Tuah Jaya)
  8. Tian Chua (bekas MP Batu)
  9. Azan Ismail (bekas ADUN Bandar, Terengganu)
  10. Michael Tamil
  11. Datuk Dr G Balasubramaniam
  12. Vasantha Kumar

Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) Ismail Yusof berkata nama Anwar belum boleh disahkan sebagai presiden secara rasmi kerana badan itu mempunyai prosedur tertentu,

Katanya semua nama yang dicalonkan perlu melalui proses pengesahan oleh JPP.

“Mengikut peraturan kami akan pamerkan semua nama calon yang layak bertanding pada 8 Ogos ini.

“Setelah itu ada tempoh untuk bantahan selama tiga hari, diikuti dengan tempoh rayuan selama tiga hari juga.

“Proses cabutan untuk nombor undian masing-masing pula akan dilakukan pada 19 Ogos,” katanya.

Original Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *