‘Kem neutral’ tampil di tengah bahang pemilihan PKR

Di tengah bahang pemilihan PKR yang menyaksikan calon-calon bertanding mengumumkan penyertaan dalam pasukan tertentu, beberapa pemimpin lain parti itu yang menyerahkan pencalonan mereka hari ini mengambil pendirian bebas dan neutral.

Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata pertembungan antara pasukan Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dijangka terjadi merupakan proses demokratik yang biasa.

Pada masa yang sama, Fahmi yang pertama kali bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat berkata dia memilih untuk tidak menyertai mana-mana pasukan.

“Mungkin ada kelebihan untuk Rafizi, tapi saya tidak ada kem,” kata Fahmi apabila ditanya tindakan Rafizi mengumumkan pasukannya lebih awal.

“Saya tak ada dalam kem. Kalau ada pun, saya kem Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya sebelum pantas menambah, “tapi Anwar tidak ada kem.”

Bercakap di pentas yang dipasang di luar ibu pejabat PKR, Fahmi menegaskan pendiriannya bahawa pemilihan parti itu perlu diraikan dan PKR seharusnya menunjukkan teladan kempen.

“Saya ditanya jika saya ada slogan perang… Saya tak ada slogan perang, saya ada slogan keamanan,” tambahnya.

Semua kem presiden

Awal hari ini, bekas anggota parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff juga dilihat antara pemimpin PKR yang hadir hari ini.

“Saya berdiri di atas kaki sendiri, dengan membawa misi ‘Muafakat Generasi Reformasi’,” katanya kepada Malaysiakini.

Yusmadi berkata demikian apabila ditanya sama ada tindakannya bertanding jawatan Majlis Kepimpinan Pusat di atas kapasiti pasukan tertentu.

Pada masa sama Yusmadi berkata dia juga berasa bimbang terhadap kadar literasi digital 800,000 anggota PKR yang akan mengundi melalui kaedah e-undi nanti.

“Walaupun saya menyambut baik keputusan jawatankuasa pemilihan melaksanakan sistem sistem e-voting untuk pemilihan kali ini, persekitaran sosial mereka berbeza-beza,” katanya.

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah yang juga menyerahkan pencalonan untuk jawatan sama pula tersenyum dan berkata, “saya dalam kem presiden”.

“Adakah akan ada dua pencabar bagi jawatan presiden?” katanya apabila ditanya kemungkinan Anwar akan dicabar.

Sebelum ini, penyandang jawatan presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berulang kali menafikan wujudnya dua kem yang bertentangan dalam parti mereka.

Pemilihan PKR akan bermula pada 24 Ogos dan akan berlangsung selama sembilan minggu dengan keputusan dijangka diumumkan pada November.

[Baca berita asal]

Original Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *