MotoGP: Marquez Dominasi GP Argentina, Rossi Sekat Dovizioso

Sumber: Twitter MotoGP

Marc Marquez mendominasi perlumbaan di GP Argentina sekaligus merekodkan kemenangan ketiga di Termas de Rio Hondo.

Marquez mempamerkan prestasi mantap sepanjang sesi ujian minggu lalu sebelum mengesahkan kemenangan di hari perlumbaan.

Pertahan juara itu berada di depan seawal selekoh pertama dan tampak tidak tergugat sebaik perlumbaan menghampiri pusingan terakhir.

Selepas empat pusingan, wakil Honda itu telah pun meninggalkan pesaing terdekat dengan perbezaan empat saat.

Bagaimanapun, saingan sengit berlaku untuk perebutan tempat kedua, di antara Andrea Dovizioso, Valentino Rossi dan Franco Morbidelli.

Ketiga-tiga pelumba bertukar-tukar posisi di awal perlumbaan sebelum Morbidelli ketinggalan – pelumba Itali itu kemudiannya terpaksa bersara daripada perlumbaan ekoran mengalami kemalangan bersama Maverick Vinales.

Dovizioso dan Rossi bersaing dengan sengit sebelum juara dunia tujuh kali itu mengetepikan cabaran Dovizioso – yang memenangi aksi pembukaan di Losail dua minggu lalu – di pusingan terakhir.

Sementara itu, Alex Rins turut mencuri tumpuan apabila berjaya menduduki tempat kelima meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-16 manakala Jorge Lorenzo meneruskan nasib malang bersama Repsol Honda apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin berjaya mempamerkan tunggangan mantap untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-16 meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-21.

Keputusan perlumbaan:

1. Marc Marquez (Repsol Honda)
2. Valentino Rossi (Monster Energy Yamaha) +9.816secs
3. Andrea Dovizioso (Ducati) +10.530s
4. Jack Miller (Alma Pramac Racing) +12.140s
5. Alex Rins (Suzuki Ecstar) +12.563s
6. Danilo Petrucci (Ducati) +13.750s
7. Takaaki Nakagami (LCR Honda) +18.160s
8. Fabio Quartararo (Petronas Yamaha) +20.403s
9. Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini) +25.292s
10. Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing) +25.679s
11. Miguel Oliveira (Red Bull KTM Tech 3) +25.855s
12. Jorge Lorenzo (Repsol Honda) +27.497s
13. Cal Crutchlow (LCR Honda) +31.398s
14. Francesco Bagnaia (Alma Pramac Racing) +32.893s
15. Johann Zarco (Red Bull KTM Factory Racing) +33.372s

Kedudukan kejuaraan:

1. Marc Marquez (Repsol Honda) 45
2. Andrea Dovizioso (Ducati) 41 (-4)
3. Valentino Rossi (Monster Energy Yamaha) 31 (-14)
4. Alex Rins (Suzuki Ecstar) 24 (-21)
5. Danilo Petrucci (Ducati) 20 (-25)

Original Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *