OTTIMO TECHNOLOGIES SDN. BHD. PERKENALKAN MODEL VIZ110 – RM4,288!

  • Ottimo Technologies Sdn. Bhd secara rasminya telah memperkenalkan model pertama mereka, VIZ110.
  • Dijana oleh enjin  satu  silinder empat lejang 110cc, ianya juga didatangkan dengan tangki bahanapi 3.6 liter diperakui sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).
  • Harga pengenalan ditetapkan pada RM4,288 (harga asas, tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Sungai Petani, Kedah, 20 Disember 2018 – Ottimo Technologies Sdn. Bhd., dengan secara rasminya telah memperkenalkan motosikal kapchai pertama mereka, model VIZ110, di Jerai Regency Resort pada malam ini.

Sebagai satu nama baharu dalam pasaran motosikal negara, Ottimo Technologies telah tampil dengan sebuah motosikal kapchai mampu milik baharu yang pasti akan menarik minat para penggemar motosikal negara. Hadir pada acara pengenalan ini adalah Pengarah Urusan Ottimo Technologies Sdn. Bhd., Encik Daniel Lim.

“Permintaan untuk motosikal mampu milik dengan gaya trendi masih kukuh walaupun segmen moped berkapasiti lebih tinggi telah menyaksikan pertumbuhan yang ketara,” ujar Encik Daniel Lim.

“Kami berusaha untuk membawakan motosikal mampu milik buat pengguna motosikal, lengkap dengan enjin empat lejang 110cc yang mematuhi piawaian Euro3, serta penjimatan bahanapi dan juga digabungkan dengan reka bentuk yang menarik, segar, dengan penampilan yang lebih trendi serta mesra pengguna.” tambah Encik Lim lagi.

Motosikal VIZ110 ini adalah tawaran terkini dalam segmen bawah 125cc dalam negara, didatangkan dengan reka bentuk yang terkini dan bergaya, bersama enjin  satu  silinder, empat lejang, 110cc , sejukan udara, yang mampu mencecah 6.7hp pada 7,500rpm dan 6.9Nm pada 6,000rpm. Menambah kepada daya penarik motosikal ini adalah tangki bahanapinya yang berkapasiti 3.6 liter yang mampu mencecah jarak perjalanan sejauh 185km dengan setiap isian penuh serta diperakui sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ciri-ciri lain yang ada pada motosikal ini adalah lampu isyarat LED, pengecas USB, paparan tolok kelajuan yang jelas, serta sistem pencahayaan yang mematuhi piawaian ECE. Motosikal VIZ110 ini juga dilengkapi denga penghidup elektrik dan rim aloi beserta cakera brek hadapan untuk daya cengkaman yang lebih cekap dalam semua keadaan.

Ottimo Technologies Sdn. Bhd. menyasarkan penjualan sebanyak 300 unit VIZ110 sebulan bagi tahun pertama operasi, menumpukan perhatian mereka di wilayah utara negara bagi memastikan para pelanggan mendapat perkhidmatan selepas jualan dan bekalan alat ganti terbaik, di samping aktiviti pemasaran yang berterusan kepada pengguna.

“Dengan pasukan yang berpengalaman lebih daripada 20 tahun dalam bidang reka bentuk, pengilangan, jualan, dan pemasaran motosikal, kami yakin dengan kemampuan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang akan menambah nilai kehidupan seharian pengguna kami. Kami merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk pada masa yang akan datang dengan pendekatan yang tepat pada masanya dan berstruktur bagi meningkatkan lagi portfolio kami secara beransur-ansur untuk memperluaskan asas pelanggan kami serta penembusan pasaran,” ujar Encik Chong Kian Boon, Ketua Pegawai Eksekutif Ottimo Technologies Sdn. Bhd.

Motosikal VIZ110 ini akan didatangkan dalam dua kemasan warna yang menawan, iaitu Merah Syinta dan Biru Syantik, dengan konsep dua tona. Model VIZ110 ini telah ditetapkan pada harga RM4,288 (harga asas, tidak termasuk insurans dan cukai jalan), buat 500 unit yang pertama. Harga ini akan dikaji semula kemudian.

Bagi memastikan para pelanggan OTTIMO mendapat perkhidmatan selepas jualan yang terbaik, syarikat ini akan merasmikan sebuah pusat 3S di bandar Sungai Petani pada bulan Februari 2019,selain daripada kilang dan pusat alat ganti di Gurun, Kedah.

Original Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *